Tuesday, December 20, 2011

Hikayat Badut Putih Bermain Di Air

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum wbt
AMARAN KERAS: catatan kali ini mengabungkan linguistik lama dan baru.. jadi kepada adik adik yang masih belajar. sila dapatkan nasihat orang tua sebelum baca artikel ini .
Tergerak jari-jemari ini untuk menulis sesuatu yang mungkin dipandang enteng bagi sesetengah akal, ya, aku akui bahawa perjalanan hidup yang dikecapi baru berusia tiga dekad namun dalam usia tiga dekad ini jualah, aku masih tidak segan silu menghirup oksigen percuma dan menggunakan akal yang diberikan secara ehsan oleh Dewata Mulia Raya, Lantaran itu, akal kerdil ini yang sarat dengan beban segala macam polemik di dalam bumi beriman ini mahu menjentik akal-akal lain yang aku perkirakan bukan dari mentaliti kelas ketiga. Jika anda tergolong dalam golongan mentaliti kelas pertama, maka silalah bersimpuh bersila, meleretkan scrollbar laman ini ke perenggan seterusnya.
Maka bermulalah hikayat ceritera, suatu ketika dahulu, gegak gempitalah suasana seluruh isi negeri kerana tetamu alam yang ditunggu-tunggu hanya bermain di luar sahaja tidak masuk ke dalam negeri, seolah-olah tidur nyenyak bersama selimut tua setelah bekerja keras menyapa bandar Iram. Arakian, puas sudah awak-awak menggoda dan mencungkil matanya, tidak juga bangun tetamu alam ini yang direkayasakan kepada rakyat jelata bahawa ia akan memberikan manafaat yang besar kepada seluruh isi jelata. Tiada halangan, hanya peluang diazankan dicorong-corong trompet di segenap penjuru rantau. Badut-badut putih di bawa menginap dan diberi mandi wap supaya dapat menjulang cawan besar pada akhir termasyar.
Awak-awak dimarahi kerana tidak berjaya memujuk dan memanggil tetamu alam untuk bermain-main dengan badut-badut di dalam air. Dikerahnya pula ahli nujum negara dan pawan Pulau Siguntang untuk menjampi serapah supaya dapat ditarik telinga tetamu alam secara paksa untuk bermain dan melayani kerenah badut putih itu. Maka bertempik melolonglah mahraen sekeliannya, supaya jangan diapa-apakan tetamu alam itu.
Semusim, dua musim, tiga musim, empat musim, lima musim berlalu bersama dengkuran tetamu alam. Badut datang lagi, kali ini sang semut telah membuat persiapan rapi, berarak panjang mencari kediaman baru atas perintah Dewata Mulia Raya untuk berpindah serta-merta. Tetamu alam datang kali ini tanpa dengkuran lagi, menyahut jampi serapah yang diseru beberapa musim yang lalu .
Apa pengajaran dari hikayat di atas ? Doa yang diminta pasti akan dimakbulkan . Jadi mintalah yang molek molek. JANGAN MINTA BALA . menyusahkan orang.